MARIO Gomez memuji persembahan anak buahnya ketika membenam PDRM 4-1 di Larkin, kelmarin.
Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata, kemenangan tersebut menghidupkan peluang Harimau Selatan mara ke peringkat suku akhir.
Ketika ini, JDT menghuni tangga tercorot Kumpulan C dengan mengumpul enam mata namun berpeluang lolos ke peringkat seterusnya andai dapat menewaskan PKNS FC pada perlawanan terakhir 20 Ogos ini dan berpeluang muncul juara kumpulan sekiranya pertemuan antara Perak dan PDRM berakhir dengan keputusan seri.
"Saya bangga dengan persembahan pemain terutamanya mereka yang jarang-jarang diturunkan.
"Pemain seperti Dominic Tan dan Hasbullah Abu Bakar juga telah buktikan kemampuan mereka.
"Apa yang penting, prestasi pasukan juga menunjukkan peningkatan," katanya.
Pada aksi kelmarin, Amri Yahyah dan Nazrin Nawi masing-masing meledak dua gol manakala gol sagu hati pelawat dijaringkan oleh Guilherme.