NILAI – Bimbang kegiatannya mudah dikesan pihak berkuasa sekiranya aktif di bandar besar seperti Kuala Lumpur, seorang wanita yang boleh dikategorikan sebagai pelacur kelas atasan memilih bandar Seremban dan Nilai untuk menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
Bagaimanapun, tindakan wanita warga Uzbekistan itu mengiklankan kegiatannya menerusi laman web akhirnya menjerat diri apabila dihidu Jabatan Imigresen negeri.
Wanita berusia 31 tahun itu ditahan anggota Imigresen ketika sedang leka melayan seorang lelaki di sebuah bilik hotel ketika serbuan dilakukan kira-kira 5 petang, semalam.
Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, kegiatan wanita itu dikesan sejak beberapa hari lalu selepas dia mengiklankan perkhidmatan seks di sebuah laman web dengan bayaran antara RM450 hingga RM500.
“Kita menerima aduan daripada orang awam yang curiga dengan iklan di laman web berkenaan sebelum kita membuat siasatan lanjut sehingga wanita ini berjaya ditahan.
“Siasatan awal mendapati wanita ini masuk ke dalam negara sebagai pelancong pada 24 Januari lalu dan mengikut rekod dia sudah dua kali masuk ke negara ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, pelanggan yang melayari laman web berkenaan akan menghubungi wanita terbabit menerusi nombor telefon tertera sebelum menetapkan hotel untuk bertemu.
“Kita percaya wanita ini aktif di kawasan Seremban dan Nilai kerana bimbang aktivitinya dikesan sekiranya menawarkan perkhidmatan di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
“Kita percaya wanita ini masuk ke negara ini dengan berpura-pura melancong tetapi sebaliknya dia menjual tubuh untuk mendapatkan pendapatan lumayan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Faizal Fazri berkata, wanita terbabit juga baru dua hari mendaftar di hotel dua bintang berkenaan.
Sementara itu, dalam serbuan sama, Jabatan Imigresen turun menahan tiga warga asing termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30-an kerana bekerja secara haram di hotel berkenaan.
“Ketiga-tiga warga asing dari Indonesia dan Bangladesh itu didapati mempunyai permit kerja di sektor peladangan, tetapi bekerja di hotel ini,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Lenggeng, di sini